Mujahadah mencari keredhaan ILLAHI..

Monday, April 2, 2012

Renungan I




RENUNGAN I : REZEKI ALLAH YANG MAHA LUAS

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, syukur ini dipanjatkan ke hadrat Illahi, atas kurniaanNYA yang tidak putus-putus kepada kita, seisi makhluk bumi. Begitu juga atas lindunganNYA yang melindungi kita dari segala bahana bahaya, kesesatan, dan meletakkan jiwa ini kekal dalam nikmat HidayahNya . Di samping,rahmatNYa yang kian melimpah ruah dalam merahmati penghidupan sekalian alam.

Subhanallah, tika terlihat keindahan  alam ini yang  terletak kedamaian yang tiada ternilai. Tidakkah ia satu terapi yang sangat baik, untuk hilangkan ketidaktenteraman hati, tatkala kamu melihat hijaunya bumi, tenangnya air yang mengalir, sinarnya sang matahari yang menerangi setiap pelusuk bumi, dihiasi kumpulan awan yang meredupkan alam ini. Pandanglah dunia ini dengan mata hati, yang akan membawa kamu memahami keajaiban dunia yang penuh hikmah ini.


IRHAMNA, Ya ALLAH..

Salam sejahtera buat sahabat-sahabat yang saya cintai kerana ALLAH. Alhamdulillah, kerana hadirnya rasa ingin berkongsi dengan kalian, apalah  kiranya yang terbit dari sang hati ini,yang mungkin hanya suka-suka, dan mungkin juga tanda kasihnya dari saya yang menulis sebagai hadiah buat semua. Sesungguhnya, ingin berpuitis itu bukan saya, tetapi si penyair, yang bercerita itu bukan juga saya tetapi si penulis novel. Hadirnya tulisan saya ini kerana ingin berkongsi kepada kalian semua tentang apa yang saya nikmati dalam pinjaman kehidupan yang saya jalani. Sudilah kiranya saya mengajak kita semua merenung, setiap apa yang ada pada diri kita, setiap apa yang hadir dalam kehidupan kita, setiap apa yang direncanakan buat kita, adalah kerana Dia semata.

Sudahkah kita bersyukur dengan segenap nikmat yang kita kecap hari ini? Sudahkah kalimah ‘Alhamdulillah’itu singgah di bibir tanda penghargaan buat DIA yang mengurniakan segala-segala?. Jika sudah, Alhamdulillah, kerana kamu itu manusia yang mensyukuri nikmat Tuhan sebaiknya. Jika belum, Alhamdulillah kerana Tuhan itu tidak pernah mengharap balasan atas apa yang dikurniakanNYA, dan tidak juga bakhil untuk terus menerus memberi kamu nikmatNya. Terima kasih ya ALLAH.

Kenang sejenak detik kehidupan hari ini. Bagaimana kita jalani sesaat lalu?. Andai yang terukir di bibirmu itu adalah senyuman, Subhanallah, itu adalah sangat membahagiakan. Jikapun, yang terbit adalah kacaan air mata di birai kelopak mata itu, Alhamdulillah, kerana itu tandanya hati kamu sedang hidup. Yang tersenyum itu kerana rasa bahagianya, yang tertitis itu adalah kerana kekuatannya mengharungi kehidupan. Walau apa pun yang kamu lalui, hargailah, syukurilah, kerana detik yang berlalu itu tidak akan pernah terulang lagi.




Sahabat yang saya cintai kerana Allah,

Apa yang bermain di benak fikiran saya ketika ini adalah bagaimana untuk memahami dengan lebih jelas tentang tanggungjawab yang dilalui oleh semua manusia dalam kehidupan kita hari ini dalam mencari rezeki yang halal. Hakikatnya, itulah yang dilakukan oleh semua manusia yang hidup di dunia, mencari rezeki untuk makan, rezeki untuk hidup, untuk memberi kesihatan dan kekuatan pada jasad ini dalam perjuangan untuk beribadah kepada Yang Maha Esa.

Mencari rezeki itu adalah terlalu umum, kerana sesiapa sahaja mencari rezeki untuk meneruskan  hidup dengan pelbagai tatacara.Ya betul, Tuhan itu Maha Pemurah, kerana Dia menciptakan kita, dan menentukan jalan rezeki kita masing-masing sejak azali, tetapi,itu tidak bermakna kita hanya boleh goyang kaki , dan mengharapkan rezeki itu datang bergolek di kaki  sendiri. Sebagai perumpamaan, bayangkan, kalau tong beras di dapur rumah kita sudah tidak berisi, masakan tetiba tong itu akan penuh dengan sendiri? Tidakkah kita fikir, untuk mendapatkan sesuatu, kita perlu berusaha, bukan hanya menadah tangan mengemis dan meminta sewenang hati. Oleh sebab itu kita perlu berusaha, mencari rezeki Tuhan yang sedia ada di bumi ini. Seperti perumpamaan tadi, berusaha untuk  mengisi tong beras yang kosong itu agar kembali berisi.

Kawan-kawan sekalian,

Mari kita lihat adab-adab mencari rezeki yang disarankan oleh agama kita, Jom!





Adab-adab mencari rezeki :

1)  Menganggap mencari rezeki itu adalah amal ibadah kepada Allah SWT.
2)  Memelihara iman dalam diri dalam berusaha.
3)  Mencari rezeki yang halal dari segi cara memperolehnya, mahupun sumbernya.
4)  Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun dari Allah swt.
5)  Menginfakkan harta ke jalan Allah.
6)  Meringankan tangan untuk membantu golongan yang lemah.
7)  Merapatkan ukhuwah dengan tali silaturrahim sesama manusia.
8)  Tidak meminta-minta.
9)  Bersikap zuhud
10) Tawakkal kepada Allah swt.

*sumber :infokito.wordpress.com ~ dengan ucapan, terima kasih. J

Nah, mari sama-sama kita amalkan ya! Sebenarnya setiap adab itu dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang berkaitan adab-adab tersebut, dimana Allah sentiasa meyakinkan kita dengan janji-janjinya dalam kitab mulia, alQuran. Sama-sama kita rujuk ya!




Akhir kalam,  

Ya, mencari rezeki itu perlukan usaha dan taqwa. Sehebat mana pun kita hari ini, rezeki yang diminta-minta itu tidak akan datang pada kita semudahnya, kerana setiap sesuatu perlukan usaha dari kita.
Harus kita ingat, Tuhan juga telah permudahkan hambaNya dalam mencari rezeki kerana rezeki itu ditempatkan di mana- mana sahaja kita berada, sesiapa pun  kita di mata dunia, rezeki Allah itu bertebaran luas di bumiNya.  Kebergantungan manusia dengan seisi makhluk menjadikan kita tolong menolong dalam membantu melengkapkan kehidupan masing-masing. Yang tinggal, cuma hasil usaha kita, serta perjuangan yang kita sanggupi dalam mencari sesuap nasi. Dari situ, Allah tentukan rezeki kita, sebanyak mana kita berusaha, sebegitulah ganjaran yang kita bakal perolehi.

Mari kita lihat rezeki itu bukan sahaja dari segi fizikal dan material sahaja, ia juga terbit dalam bentuk kasih sayang, kebahagiaan, kerjaya, keluarga dan sebagainya. Melihat rezeki itu seluas-luasnya, dari makna kegembiraan yang kita rasa, dari kaca mata ujian dari Allah juga dikira rezeki yang telah menjadi ketentuan buat kita. Apa yang penting, bagaimana kita mengolah perjuangan kita untuk mendapatkan rezeki Allah yang Maha Luas itu dan sejauh mana kita mensyukuri apa yang Allah kurniakan itu..

Hatta,jika kamu sedang menikmati rezeki Allah pada hari ini, jangan sesekali lupa untuk mengucapkan syukur kamu padaNya. Jika rezeki yang kamu cari itu masih belum ditemui, mohonlah doamu seihklas hati, agar Ar-Rahman sudi memberinya, dan bertawakkal hanya pada Allah, sebagai tanda kita percaya, apa saja yang kita lakukan, apa pun yang kita dapat, adalah kepunyaanNYA. Subhanallah, “Rabbi yassir wala tuassir”.

Firman ALLAH,
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (aljumuah 62:10)


Akhir kata, senyumlah buat seisi dunia, dengan itu kamu akan mendapat senyumnya kembali. :)


Ikhlas,
Nurcahaya.
bebaskan dirimu terbang mencari keredhaan Illahi”.

sekian...
(madey  020412, 11.00pm)

No comments: